18 Feb 2020

Kematian yang Menghidupkan

Bismillah.
Assalamualaikum w.b.t.

Semoga sahabat sekalian berada dalam keadaan yang terbaik. Sihat wal afiat di samping keluarga tercinta.

Lebih kurang seminggu sudah pemergian Allahyarham Syed Umar Mokhtar.  Seluruh Malaysia digemparkan dengan berita pemergian seorang pelawak dan pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Abam Bocey.

Beliau 'dijemput' pergi dalam usia yang begitu muda iaitu pada usia 32 tahun.

Pemergiannya benar-benar mengejutkan semua. Dan apa yang benar-benar mencemburukan saya dan mungkin kalian juga, begitu ramai yang menghadiri pengebumian beliau dan kebaikannya semasa hidup di sebut-sebut di sana-sini. Sangat menginspirasikan.

Sejujurnya, setiap kali baca berita tentang beliau, hati ni jadi sebak tiba-tiba sampai mengalir air mata. Padahal tak kenal pun dan saya bukan peminat beliau.

Cuma terfikir.. Bagaimana lah aku dah takde nanti, ada ke orang datang uruskan jenazah dan pengeebumian? Apa yang orang akan cakap tentang diri ini yang banyak dosa tapi kurang amalan soleh. Bagaimana pula dengan kesayangan-kesayangan yang ditinggalkan? 

Sahabat sekalian ada terfikir tak?

Kematian yang Menghidupkan

Mari kita sama-sama belajar sesuatu daripada peribadi yang beliau tinggalkan.

1) Memuliakan Ibu Bapa

Beliau semasa hidupnya dapat kita lihat melalui perkongsian di media sosial dan ucapan ibunya sendiri jelas membuktikan bahwa beliau merupakan seorang anak yang sangat baik. Sentiasa mentaati ibunya, mengasihi ibunya, tidak menyakiti hati ibunya dan sentiasa berusaha membahagiakan ibunya. Ia sangat bertepatan dengan perintah agama.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahqaf , ayat 15 : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah…”

2) Buat Baik Kepada Ahli Keluarga

Pemergian beliau ditangisi adik beradiknya. Jelas membuktikan bahawa beliau merupakan seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Beliau tak pernah berkira dan sentiasa berusaha berbuat baik kepada ahli keluarganya. Oleh kerana itulah, pemergian beliau benar-benar dirasai.

Dalam satu rancangan temubual bersama Ustaz Ebit Liew, beliau berpesan supaya bantu ahli keluarga terdekat dahulu. Kalau bukan kita yang tolong adik beradik kita, siapa lagi nak tolong.

Beliau sendiri telah membuktikan, beliau hanya berkahwin selepas adik-adiknya berkahwin dan semua kos perkahwinan beliau yang taja.

3) Sebarkan Kasih Sayang & Bantu Orang Lain

Rasa sayang sesama manusia amatlah penting dalam membina kehidupan yang harmoni. Ketika kita menyayangi orang-orang yang kita kenal mahupun tidak, kita akan menajdi ringan tulang dan tidak fikir panjang untuk membantu meringankan masalah atau bebanan mereka. Dan itulah yang berlaku kepada beliau ketika seorang ibu dan anak kecil yang sanggup datang walaupun pada waktu malam bagi menziarahi kubur beliau dek kerana begitu terhutang budi atas kebaikan arwah semasa hidupya.

"Orang Baik Semua Sayang."


Pagi ini pula, datang lagi berita kematian mengejut. Umur baru mencecah 40 tahun.


Allahu..betapa dekatnya kita dengan kematian.😫

Innalillahi wainna ilaihi rojiuuun..


Al-Fatihah buat arwah Abam dan arwah Ashraf Sinclair. Mari kita sama-sama mendoakan pengakhiran yang baik untuk kita semua.

....

Mati.
Itulah kepastian.
Bukan syaratnya tua atau sakit.
Tidak akan tercepat atau terlambat walau sesaat. 

Berita kematian sepatutnya menginsafkan kita yang masih hidup.

Moga kita lebih bersedia dengan bekalan amal soleh untuk dibawa ke 'sana' dan juga sediakan bekalan buat waris kita yang masih hidup.

Usah bertangguh.
Masa tak pernah menunggu kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign