Di Malaysia berkat pengalaman
kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 916
telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang
tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang
paling selamat. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan
perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran
perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran
perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan
dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh
masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa
berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap”
para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.
Sejarah Pengenalan Dinar Emas dan Dirham Perak

Sekiranya dinar emas mampu
dinobatkan sebagai matawang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil
seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai matawang
alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan “Nothing Beats Gold, Zero
Inflation in 1400 years“ adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam
menyatakan hakikat tersebut. Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad
S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi
pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau
lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh
berlaku…jawapannya ialah matawang konvensional yang tersedia ada tidak
berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Apa yang berlaku pada hari ini
ialah dunia menggunakan wang kertas yang rezabnya hanyalah dalam bentuk nisbah peratusan
emas yang diperuntukkan dan bukannya instrumen itu sendiri yang memiliki nilai
emas secara keseluruhannya. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan
serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.
Masyarakat Arab Jahiliyyah pada
ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada
negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka
tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan
dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi
memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di
Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian,
keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar
dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi
kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini
jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta
dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham
Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah
Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada
keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham
bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai
91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak
seberat 2.975 gram.
Dalam rekaan ini ukiran pada
permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya
elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea
Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut
dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja
Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn
Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham
dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar
di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan
perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin
penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat
Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta
ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat
tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut
diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam
Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah
tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih
meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini,
pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol
yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat
sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap
cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi
memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan
tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran
Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa
keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar
serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di
Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan
manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan