Zakat Emas Sebagai Pelaburan Akhirat

"BELI EMAS UNTUK PELABURAN MASA DEPAN,
TUNAIKAN ZAKAT UNTUK PELABURAN AKHIRAT" 

Zakat adalah salah satu rukun Islam dan sangat penting kerana seringkali disebutkan secara bergandingan dengan solat dalam al-Quran. Khalifah Abu Bakar as-siddiq juga pernah bersungguh-sungguh memerangi golongan yang enggan membayar zakat setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. kerana menyedari pentingnya zakat yang merupakan perintah Allah s.w.t serta kesan dan kaitan terhadap ekonomi Islam.

Zakat emas adalah antara zakat yang diwajibkan oleh syarak berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran, sunnah dan ijmak. Sekalipun terdapat pelbagai bentuk dan teknik pelaburan emas pada hari ini, kewajipan zakat tetap dikenakan samada ia diniagakan, disimpan, dipinjamkan kepada pihak lain atau digadaikan di pusat gadaian kerana zakat emas termasuk dalam jenis zakat 'ain.

Maka, tunaikanlah zakat bagi mereka yang telah berkewajipan mengeluaarkan zakat emas & perak. Allah telah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 34 - 35 tentang orang-orang yang menyimpan emas & perak serta tidak membelanjakan pada jalan Allah, mereka akan diseksa dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

Terdapat juga hadis Riwayat Imam Muslim yang menceritakan azab yang diterima oleh pemilik emas & perak yang tidak menunaikan zakat.


Zakat Emas

Bagi Emas Yang Disimpan:

  • Emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun melebihi 85 gram (nisab).

Bagi Emas Yang Dipakai:

  • Emas yang dipakai sekali sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun & melebihi uruf (kadar biasa pemakaian emas penduduk setempat) maka wajib dikeluarkan zakat atas lebihan dari nilai uruf. Kadar uruf berbeza bagi setiap negeri.
Zakat Perak

Perak yang disimpan dalam tempoh setahun jika melebihi nisab (595 gram)


Assalamu'alaikum ustaz... emas yang dicagarkan pada skim ar rahnu wajib dikenakan zakat?

JAWAPAN:

1) Emas adalah salah satu aset yang wajib dikeluarkan zakat melainkan emas perhiasaan(selagi tidak mencapai berat yang tertentu). Oleh itu emas yang telah mencapai nisab dan haulnya, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

2) Antara syarat lain yang diwajibkan berzakat, emas yang disimpan itu merupakan pemilikan penuh. Jadi emas yang dicagarkan masih dikira sebagai hak milik penuh kepada tuannya dan jika mencapai nisab dan haul, maka tuannya wajib mengeluarkan zakat.

3) Nisab bagi emas sepertimana yang disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam sebanyak 20 mithqal iaitu 20 dinar. Menurut kiraan pada zaman moden ialah 85 gram iaitu kadar berat yang mencapai nisab.

4) Emas yang dicagar perlu dikenakan zakat setelah menolak nilai pinjaman dan kadar upah simpan kepada Ar Rahnu. Setelah ditolak nilai yang ada masih mencapai kadar nisab iaitu 85 gram, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign