Berduit Belum Tentu Berharta

Situasi ini sering berlaku kerana ramai orang tidak ada kemahiran menukarkan duit gaji menjadi harta sebenar. Semua orang tahu kunci kepada kekayaan adalah menyimpan tetapi hanya segelintir yang tahu kepentingan menyimpan harta sebenar berbanding duit tunai (wang fiat).

Duit gaji yang diperoleh setiap bulan ditukar menjadi simbol-simbol kemewahan, digandingkan pula dengan mudahnya membuat hutang, maka akhirnya kita gagal mengumpul harta yang sebenar.


Elakkan Mengalami Situasi Berduit Tetapi Tidak Berharta


Simbol kemewahan hanya untuk memenuhi nafsu sahaja. Kita bangga dengan kekayaan 'palsu' untuk dilihat orang, dipuji-puji dan dipandang hebat. Akhirnya, duit kita semakin susut untuk mengekalkan gaya hidup sedemikian. Kita yang merompak duit kita sendiri secara tidak sedar. Sebab tu oang yang nampak berduit jangan disangka berharta. Kadang kita lihat seseorang tu biasa sahaja hidupnya tetapi banyak harta; rumah-rumah sewa, tanah yang diusahakan dan simpanan emas serta perak!

Harta yang sebenar membolehkan kita membayar zakat. Zakat ini antara ibadah yang tersembunyi. Tanamlah azam mengumpul harta supaya kita dapat menjadi pembayar zakat. Apabila kita semakin banyak bayar zakat, itu tandanya kita mempunya harta yang sebenar.

Simpan Dahulu, Selebihnya Baru Belanja


Langit tidak selalunya cerah.. Sediakanlah payung sebelum hujan kata orang. Usah membiarkan duit gaji bulanan kita dibelanjakan tanpa menukarkan sebahagiannya (minima 10%) menjadi harta. 

Pakar-pakar kewangan sering mengingatkan tentang pentingnya membina simpanan untuk dana kecemasan terutamanya. Usah menyesal di kemudian hari sekiranya kita terus bersikap boros.

Nak tunggu ada lebihan baru nak menyimpan, jawabnya bersedialah untuk tiada simpanan.

Bina simpanan secara paksa dengan menyimpan emas sebab realitinya, kenaikan harga emas lebih cepat berbanding kenaikan gaji kita. 

Kenapa Perlu Ditukarkan Kepada Harta?


Kita biasanya kalah dengan desakan EMOSI untuk berbelanja. Ada saja barang yang kita rasa perlu beli.

Kalau simpan duit, KUASA BELINYA sentiasa berkurang dari ke hari walaupun nombornya bertambah. Dan duit memang sifatnya untuk dibelanjakan, sebab tu ianya tidak sesuai dijadikan simpanan jangka masa panjang. 

Tabiat dan desakan emosi diri sendiri yang buat simpanan kita sering 'bocor'. Kebocoran wang perlu ditampal cepat-cepat supaya tidak menjadi semakin parah. Sebab tu saya sarankan mula buat simpanan emas agar simpanan tersebut lebih kekal bertahan.

Emas, alternatif terbaik untuk membina simpanan yang lebih bertahan! Ini hakikat wang kertas yang anda perlu ketahui.


Kenapa Emas?


Menurut pakar 'precious metal', Mike Maloney; emas dan perak satu-satunya aset yang tidak berada dalam sistem kewangan. Hanya kita sahaja yang tahu berapa banyak emas yang kita ada. Tiada siapa pun yang tahu bahkan bank mahupun kerajaan. 

Pihak bank mahupun kerajaan tidak boleh membekukan emas sebagaimana akaun dan pelaburan tunai yang lain. Tambahan lagi, emas secara purata meningkat sebanyak 20-30% setahun. 

Paling penting, dengan menyimpan emas, risiko inflasinya ialah 0%! Kita tidak perlu takut dengan inflasi yang agak merisaukan.

Jadi, tunggu apa lagi.. Jom simpan EMAS! 😍 7 Tips Mudah Istiqamah Menabung Emas


Kenapa Perlu Simpan Harta Banyak-banyak? 


Objektifnya mudah. Supaya kita dapat membayar zakat setiap tahun. Makin tahun makin bertambah. Pada masa yang sama tergolong dalam golongan yang banyak bersedekah dan mewakafkan harta.

Emas dan perak yang kita simpan dapat dijadikan modal perniagaan & pelaburan. Apabila berniaga kita dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Apabila modal itu berkembang, zakat kita bertambah. Apabila modal itu terus berkembang dan berkembang, maka akhirnya kita berpeluang membuat cashflow pahala yang terus menerus masuk ke akaun akhirat kita, iaitu dengan berwakaf.

Itulah nilai harta yang sebenar jika kita membelanjakannya di jalan yang betul.

Bukankah Allah lebih mencintai orang kaya yang pemurah berbanding orang miskin yang penyabar?

Jadi, pilihan di tangan kita. Samada mahu menjadi orang yang berduit atau berharta atau keduanya sekali.

Kadang-kadang kita nampak seseorang tu biasa dan bersahaja gayanya. Tetapi disebalik biasa dan watak bersahajanya tu, dia ada aset yang banyak, ditambah lagi rajin menginfakkan hartanya di jalan Allah. 

Gaya luaran belum tentu menunjukkan hakikat sebenar kehidupan dia. Bersederhanalah dan bebaskan diri dari keinginan meraih pandangan manusia.

Hidup untuk Allah dan kerana Allah.

Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...



The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign