Reviu Buku: Pelukis Jalanan - Teme Abdullah

Bismillah...

Reviu Buku: Pelukis Jalanan
BestSeller!! Top 10 Iman Publications
Seringkali, apa yang dipaparkan di media sosial tidak menggambarkan realiti perjalanan hidup pemilik akaun tersebut. Namun, begitulah manusia. Hanya melihat secara zahir, jarang sekali ingin merenung hakikat di sebalik keindahan yang dipamerkan. 

Pelukis Jalanan merupakan tulisan seorang anak muda yang dikenali sebagai Teme Abdullah. Saya mengenali penulis daripada hasil lukisan-lukisannya di laman intagram milik beliau (@itsteme).

Mungkin seperti orang lain, yang pada awalnya hanya memikirkan keseronokan berjalan di negara orang berdasarkan gambar-gambar indah yang dimuat naik. Tetapi saya akhirnya kembali merenung diri selepas membaca, bahkan semasa dan sepanjang melirikkan mata menghayati setiap bait tulisan dalam buku ini.

Teme, segala ujian dan cabaran sejak mula menjejakkan kakinya di negara orang (London) ditempuhinya dengan tabah dan sabar. Manakan tidak, dia tahu dia perlu kuat dan terus melangkah walau apapun terjadi kerana bertekad menyambung degree di UK tanpa biasiswa atau tajaan daripada mana-mana pihak.

Bekerja sambilan di restoran fast food bukanlah suatu perkara yang mudah sebenarnya bagi seorang mahasiswa architecture yang sememangnya padat dari segi masa dan tugasan yang perlu dilakukan. Namun, atas keinginan dan kesungguhan yang tinggi demi menampung kos sara hidupnya di negara yang maju, dia terpaksa membahagikan masanya untuk bekerja sambilan.

Peristiwa ditikam belakang oleh rakan sekelas membuatkan Teme lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sebarangan. Ketika sampai di episod ini, saya menahan airmata membayangkan bagaimana keadaan Teme jika terpaksa mengulang semester, dalam situasi kewangan yang benar-benar tidak mengizinkan. Bayangkan, sebulan makan nasi berlaukkan telur dan garam. Bagaimana nak membayar yuran pengajian, penginapan dan segala perbelanjaan di sana?

Tapi Teme cekal. Dia tahu Allah berikan ujian sebegitu kerana dia mampu. Lalu mula melukis di jalanan. Syukur, lukisan-lukisannya berjaya menarik perhatian ramai. Hasil lukisan tersebut digunakan untuk menyara hidupnya. Sehinggakan, lukisannya telah menempah nama di instagram. Alhamdulillah. Puji dan syukur ke hadrat Allah.

Saranan saya, cepat-cepat dapatkan buku Pelukis Jalanan ini kerana ianya bukan sahaja sesuai dibaca oleh golongan muda, bahkan juga sesuai buat ibu bapa di luar sana. Jangan bimbang untuk mengizinkan anak-anak kalian merantau ke negara orang, yakinlah, segala penat lelah yang akan ditempuhi adalah tarbiah dari Allah yang benar-benar mahu mendidik hambaNya menjadi lebih baik.
Reviu Buku: Pelukis Jalanan
Cover Belakang


Wallahua'lam, tahniah buat Teme Abdullah (bukan nama sebenar). #PelukisJalanan telah berjaya menyentuh hati ramai pembaca termasuk saya yang juga sedang bermusafir menimba ilmu dan pengalaman di negara jiran. Semoga Allah berkati segala usaha yang bermanfaat buat ummah.!

"Sesungguhnya tiap-tiap kesusahan disertai kemudahan."
[Surah Al-Insyirah, ayat ke 7]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign