Haram riba dalam al-Quran

SEKIRANYA tersebarnya berita mengenai seorang anak merogol ibunya, penulis yakin kutukan, celaan dan makian yang berskala luar biasa pasti menuju ke arah si pelaku tersebut.

Manakan tidak, perbuatan tersebut bukan sahaja diketahui berdosa besar, malah melampaui batas kewarasan sebagai manusia yang dikurniakan akal sihat dan baik.

Namun realitinya, bagaimana pula dengan institusi kewangan yang cuba menawarkan pinjaman berasaskan riba melalui iklan berwajah sunnah, patuh syariah dan pelbagai helah. Objektifnya tetap sama yakni memperoleh keuntungan hasil daripada pinjaman diberikan. 

Apakah perbuatan seperti ini dikecam masyarakat, atau sebaliknya dianggap sebagai satu perkara yang menjadi kelaziman, senario lebih parah lagi apabila wujudnya golongan memberikan pujian dan santunan kepada kelunakan kadar riba yang ditawarkan sesebuah institusi kewangan terlibat.

Di antara hal yang menyedihkan apabila golongan agamawan mahupun profesional yang tegas mengingatkan masyarakat bahayanya riba, dianggap sebagai keras (syadid), tidak bertoleransi, jumud dan bermacam gelaran yang tidak sepatutnya diberikan.

Dahsyatnya dosa riba

Begitulah realitinya yang melanda masyarakat pada masa kini, kurangnya pengetahuan, kefahaman dan kesedaran mengenai dahsyatnya dosa riba. Walhal jelas tercatat di dalam hadis Baginda SAW, dosa orang yang memakan riba itu tidak ada bezanya seperti berzina dengan ibunya.
Sabda Baginda SAW: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri." (Riwayat Ibnu Majah & Al-Hakim)
Pengharaman riba yang termaktub dalam al-Quran melalui beberapa peringkat, hampir sama seperti pengharaman arak. Apa yang cuba dijelaskan penulis dalam artikel ini bukanlah untuk memperdebatkan hukum riba, ini kerana hukum haram riba jelas dalam al-Quran, sunnah dan ijmak ulama.

Peringkat haram riba

Artikel ini memfokuskan kepada fakta turunnya ayat mengenai larangan terhadap riba secara berperingkat yang memperlihatkan seribu hikmah dan kasih sayang ALLAH  terhadap hamba-Nya, dengan memberikan pertimbangan pengharaman riba secara berperingkat, agar hamba-Nya mampu bersedia menerima hukum mengikut keadaan dan masa.

Tahap pertama: Melenyapkan keyakinan manusia riba mampu untuk melipat gandakan harta dan kekayaan

Ketika peringkat ini, ALLAH menjelaskan kaedah yang dipraktikkan melalui riba sama sekali tidak mampu untuk menambah harta dan kekayaan di sisi ALLAH. Sebaliknya tindakan yang zalim ini mampu menyebabkan hilangnya keseimbangan di dalam skala makroekonomi antaranya kejatuhan nilai wang itu sendiri yang juga dikenali sebagai inflasi.

Hal ini jelas membawa mudarat dan juga kerugian kepada manusia.
Firman-Nya: "Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi ALLAH. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredaan ALLAH, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya)." (Surah Ar-Rum: 39)

Peringkat kedua: Riba juga diharamkan ke atas umat terdahulu

ALLAH mengingatkan betapa zalimnya sistem ribawi, diberikan larangan kepada umat yang terdahulu akan tetapi mereka tetap keras untuk melakukannya.

ALLAH memberikan ancaman azab yang pedih dan mengklasifikasikan mereka yang memakan riba itu sebagai kafir. Objektif ini tersurat melalui ayat bahawa riba diharamkan ke atas seluruh umat Islam, sebagaimana diharamkan ke atas umat terdahulu.

Peringkat ketiga: ALLAH memberi gambaran mengenai riba yang mampu menghasilkan kezaliman yang berlipat ganda.

ALLAH menjelaskan riba mampu menyebabkan kezaliman yang berlipat kali ganda. Antara kezaliman yang terjadi ialah, si pemberi pinjaman (creditor) memberi beban kepada yang menerima pinjaman (debitor) dengan 'bunga' sebagai pampasan terhadap waktu menunggu hutang untuk dilunaskan.

Bunga riba bertambah sehingga peminjam menderita kerana dibebani hutang berlipat ganda.
Imam As-Sayukani dalam tafsirnya menjelaskan ayat tersebut tidak menggambarkan hanya riba yang membebankan atau berlipat ganda sahaja dilarang, sebaliknya keseluruhan jenis riba sama ada besar mahupun kecil termasuk dalam kategori dosa besar.

 Peringkat keempat: Pengharaman segala jenis riba

Peringkat ini adalah tahap terakhir daripada rantaian peringkat pengharaman riba. Ketika peringkat ini, seluruh aktiviti muamalah yang berkaitan dengan riba, sama ada secara langsung ataupun tidak, kecil ataupun besar, berlipat kali ganda ataupun tidak, kesemuanya dilarang keras dan termaktub sebagai dosa besar yang berat azabnya.

Setelah menelusuri penjelasan di atas, kita seharusnya dapat membezakan antara proses penurunan syariat dengan proses penyampaian syariat. Proses penurunan syariat adalah hak ALLAH. Dialah satu-satu-Nya zat yang menjadi sumber syariat. 

Oleh itu, semuanya bergantung kepada ALLAH. Sebagai hamba kita sama sekali tidak mempunyai hak untuk mengubah mahupun mengkritik sesuatu yang ALLAH telah wahyukan. Terdapat syariat berbentuk larangan yang ALLAH turunkan secara langsung dan ada yang tidak, semuanya bergantung kepada kehendak ALLAH.

Sedangkan proses penyampaian syariat adalah tugas nabi dan pengikutnya, pada penyampaian larangan syariat, seseorang Muslim tidak boleh sama sekali menggunakan prinsip bertahap atau berperingkat. Yang perlu disampaikan ialah hukum terakhir diturunkan ALLAH. 

Berkaitan dengan hal larangan riba, seorang daie atau pendakwah tidak boleh menyampaikan larangan ini secara berperingkat mengikut peringkat larangan dijelaskan di atas, ini disebabkan sekiranya larangan riba disampaikan secara berperingkat seperti di atas, ini bererti dia telah cuba meninggalkan hukum ALLAH yang melarang memakan riba secara mutlak.

Penegasan terhadap pengharaman riba perlu disampaikan secara jelas kepada seluruh Muslim, agar keberkatan hidup daripada ALLAH akan diperoleh di dunia mahupun akhirat.

Wallahua'lam.
-----------------------------
Kredit : Sinar Harian 4 September 2015 
(MOHD FIKRI MARDIA BAHARUDDIN) 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign