AWAS.. Skim Bertopengkan Emas!

AWAS.. Skim Bertopengkan Emas!
Realitinya ramai juga golongan yang telah sedar kepentingan dan kelebihan menyimpan emas, tetapi dek kerana terlalu ghairah melabur tanpa ilmu, akhirnya merugikan diri sendiri disebabkan kesilapan remeh-temeh dan kefahaman yang salah oleh “Salesman Pelaburan” yang hanya fikirkan keuntungan peribadi sehingga ada yang terlibat dengan skim-skim bertopengkan emas. Ingat, Melabur jangan sampai lebur!
Semenjak tahun 70-an lagi sebenarnya, rakyat Malaysia sudah “diperkenalkan” dengan skim cepat kaya iaitu skim pelaburan bernama Pak Man Telo, yang beroperasi sekitar tahun 1971. Skim Pak Man Telo ini menjadi skim cepat kaya paling popular, beroperasi hampir 20 tahun, dipercayai membabitkan hampir 50,000 pelabur dengan dana sebanyak RM99 juta.
Rumahnya akhirnya diserbu oleh Bank Negara Malaysia pada 1989, dengan wang tunai hampir RM2 juta ditemui di rumah beliau. Bayangkan, pada tahun 80-an, wang sejumlah RM99 juta didepostikan, dan RM 2 juta ditemui di rumah Osman Hamzah a.k.a Pak Man Telo? Ia satu jumlah yang cukup besar pada zaman itu.

Skim Cepat Kaya Zaman Kini

Semenjak tahun 70-an hingga sekarang sudah menjejak tahun 2015, muncul pelbagai skim cepat kaya dengan pelbagai skim yang menggiurkan dan mengghairahkan. Skim-skim cepat kaya ini muncul mengikut trend terkini, dengan wajah yang manis dan tawaran pulangan yang mengiurkan.
Ia ibarat wanita seksi yang melambai-lambai dengan tangan kanan, dengan tangan kirinya tersorok sebiji bom C4 yang akan meletupkan mangsa. Datang dengan gambar cek dengan jumlah yang besar-besar, kereta-kereta mewah, rumah-rumah besar, gambar wang berkoyan-koyan.

Skim Cepat Kaya Tahun 2012 – 2014

Sekitar 2012, ketika harga emas mula memuncak dan ‘gold-mania’ melanda, maka tumbuh pula skim-skim berasaskan emas. Yang paling mencuri perhatian ialah skim emas Geneva yang kes mahkamahnya masih berjalan sehingga sekarang, selepas ia diserbu bank negara di penghujung 2012.
Sekarang sudah menjelang hujung 2015, pastinya ia akan muncul lagi dengan pelbagai tawaran yang lebih menggiurkan berbanding sebelum-sebelum ini. Pemain-pemain utama skim ini sebenarnya sudah melangkah sepuluh tapak ke hadapan, dan merangka plan terbaru untuk mengaburi mata bakal-bakal mangsa.
Dulu buat skim macam-macam delay sana, ETA sini, ditegur haram, dipusing akad atas bawah, tak puas hati salah guna fatwa. Sekarang dah senyap sunyi. Sekarang lahir pula bisnes buat secara piramid, bonus pairing sana, banus matching sini, skim sana sini, bonus rekrut ahli jauh lebih tinggi daripada volume sales.

Ciri-ciri Skim Cepat Kaya

Jika disorot kembali skim-skim cepat kaya yang pernah wujud, ciri-cirinya memang mempunyai persamanaan cuma berbeza dari aspek teknikal.
Berikut dikongsikan empat ciri utama skim cepat kaya ini:

1. Menawarkan pulangan yang tinggi tanpa risiko

Ciri pertama skim cepat kaya, ialah menawarkan pulangan yang tinggi dan tidak masuk akal. Ya, siapa yang tidak mahu pulangan yang boleh menawarkan sehingga 10-15% sebulan? Ia lebih tinggi daripada Tabung Haji, lebih tingggi dari Amanah Saham Bumiputera malah lebih tinggi dari pasaran saham indeks Bursa Malaysia!
Secara logiknya, jika 10%-15% sebulan, ia boleh mencecah sehingga 120% – 180% setahun. Ianya satu jumlah yang sangat mustahil untuk diperoleh hanya dengan cara melabur, dan biarkan wang beranak-pinak tanpa usaha.
Namun, itulah hakikatnya, orang kita memang sukakan skim 4D – Duduk Diam Dapat Duit.

2. Menjana keuntungan melalui rekrut orang baru

Skim ini mendapat keuntungan melalui rekrut orang baru semata, bukan melalui jualan produk. Melalui ciri ini, para pelabur dikehendaki mencari orang baru untuk melabur atau menyertai skim yang ditawarkan.
Setiap kemasukan orang baru, akan diberikan intensif kepada orang yang memperkenalkan orang baru tadi. Ia akan berlanjutan dan berantai dari satu peringkat ke satu peringkat, dan ia juga dikenali sebagai skim piramid.
Skim cepat kaya dan skim piramid mempunyai kesamaan, iaitu kedua-duanya menawarkan pulangan yang tinggi dengan kemasukan orang baru. Skim piramid adalah sebahagian skim cepat kaya.

3. Punca Keuntungan Yang Tidak Pasti

Kebiasaannya pihak penganjur selalu mengelak untuk menjawab bagaimana keuntungan berlipat kali ganda tu. Kalau dijawab pun, masih tidak akan dapat menjawab persoalan. Banyak sangat spin. Jawapan biasa, emas tu diniagakan. Niaga yang macam mana yang boleh bagi untung berlipat kali ganda tu? Jawapan untuk persoalan ini biasanya berbelit-belit.
Jika mereka telus, mereka pasti tiada masalah untuk  menerangkan dengan jelas bagaimana keuntungan sesuatu pelaburan tu datang. Masalahnya orang yang join ni, main serbu je, terlalu ghairah dengan janji manis pihak yang tidak bertanggungjawab.

4. Produk tidak berapa penting

Produk tidak penting, yang penting letak duit, setiap bulan dapat income. Produk-produk yang dijual dengan harga yang tidak munasabah.
Sebagai contoh, jika 1 Gram emas berharga di pasaran sekitar RM150, di dalam skim ini ia  akan dijual dengan harga RM200 atau jauh lebih mahal daripada itu. Namun yang manariknya, tetap ada orang yang mempercayainya. Keuntungan yang dijanjikan pula tidak ada kena mengena dengan turun naik harga emas. Sentiasa untung dalam apa jua situasi.

Berhati-hati Dengan Skim Cepat kaya

Berhati-hatilah dalam setiap apa yang kita ceburi. Jika ia ia skim pelaburan, pastikan kita semak kedudukannya melalui badan-badan berautoriti seperti Suruhanjaya Autoriti, Bank Negara Malaysia.

Jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis, sekalipun ia datang dari sahabat atau saudara yang paling rapat dengan dengan kita. Mungkin mereka ikhlas untuk menawarkan kita peluang, namun sebenarnya mungkin mereka sendiri tidak sedar diri mereka sudah tertipu.
Jangan terburu-buru untuk membuat keputusan lantaran ditawarkan “tawaran terhad” kerana percayalah bahawa peluang yang baik itu umpama bas. Jika terlepas satu bas akan datang bas yang lain. Dalam hal ini, prinsip biar lambat asal selamat terpakai.
Dalam hal pelaburan, satu prinsip konservatif yang boleh digunakan bagi mengelakkan kita terjebak dari terlibat dalam skim-skim yang mengarut ini adalah;
“Biar tersalah tidak melabur skim yang menguntungkan, dari tersalah labur skim yang merugikan.”
Selagi ada perasaan tamak haloba, selagi itulah skim-skim sebegini akan wujud. Dan memandangkan perasaan tamak dan haloba adalah mustahil untuk dihapuskan dari dalam diri manusia, maka hampir mustahil juga skim ini akan berjaya dihapuskan, kecuali dunia kiamat.

Pelaburan Emas Sebenar

Suka saya tegaskan jika anda membeli emas, pastikan anda mendapat emas. Simpan sendiri. Menyimpan emas pada asasnya keuntungannya bergantung kepada turun naik harga emas. Emas adalah penyimpan nilai. Harga emas bertambah mahal kerana nilai wang kertas semakin menurun.
Pelaburan emas tidak menjamin pendapatan tetap setiap hari/bulan. Jauhilah daripada skim pelaburan emas yang menawarkan keuntungan/faedah/hibah TETAP secara bulanan atau tahunan dan menawarkan membeli emas hanya dengan membayar sebahagian harga sahaja.

Anda boleh lihat senarai skim-skim pelaburan yang tidak diiktiraf di laman web Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my (Alert list).

Emas adalah pelaburan jangka masa sederhana dan panjang. Ia memang akan menguntungkan pelabur. Tempoh masa untuk pelaburan emas disarankan sekurang-kurangnya 1 tahun ke atas. Kesabaran penting kerana ia melibatkan proses menunggu harga emas naik dan turun. Bagi saya, pelaburan emas bukan semata-mata untuk mendapat keuntungan sahaja, tetapi apa yang lebih penting daripada itu, EMAS sebagai platform SIMPANAN jangka masa panjang untuk digunakan ketika kecemasan dan pelaburan pada masa akan datang.

Di dalam pelaburan emas, anda perlu menggunakan konsep mulakan sekarang. Beli emas kemudian tunggu (buy first then wait), bukannya tunggu masa yang sesuai untuk bermula.
Jika anda mahu menjana pendapatan setiap bulan maka pelaburan emas bukanlah jawapannya. Jawapannya ialah perniagaan emas. Ya! Melabur sambil berniaga emas.

Pelaburan + Perniagaan = Keuntungan
Pelaburan + Perniagaan + Ilmu = Keuntungan BERGANDA! 

Wallahua’lam.

Hidayah Abdul Kadir
Telanaipura, Jambi
3 September 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...



The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign