Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh [Bahagian 3]

Melalui perbahasan yang lalu, kita telah mengetahui bahawa ulama berselisih pendapat dalam menentukan ‘illah barang ribawi. Ada yang menyatakan barang ribawi hanya 6, sepertimana yang termaktub di dalam hadis. Ada ulama menyatakan selain 6 tersebut juga boleh menjadi barang ribawi. Semua perkara ini khilaf yang tidak patut menjadi perbalahan hukum. Kita mesti berlapang dada dalam menghadapi masalah khilaf ini.

Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
ulama berbeza pendapat menentukan barang ribawi [Bahagian 2]
Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
6 Barang Ribawi yang disebut dalam hadis

Fokus kepada perbincangan kita, adakah matawang ringgit, dollar, reuro, dan matawang-matawang yang lain dianggap sebagai barang ribawi? Sebelum tahun 1971 iaitu sebelum matawang dollar diputuskan hubungan dengan emas dan perak, maka hukum matawang adalah sama dengan hukum emas dan perak. Pada masa itu, bila disebut dollar, maka semua orang mengakui ia mewakili emas dan perak. Begitu juga dengan matawang lain seluruh dunia merupakan sijil yang mewakili emas dan perak. Siapa yang membawa matawang kertas, ia sebenarnya membawa emas dan perak dalam bentuk perwakilan. Maka hukum wang kertas pada masa itu adalah sama hukum dengan emas dan perak yang termasuk sebagai barang ribawi.

Para ulama secara ittifaq menyatakan pada masa itu matawang kertas adalah barang ribawi kerana ianya mewakili emas dan perak. Sebarang pembelian ataupun pertukaran mesti dielakkan dari unsur ribawi. Sebagai contoh, bila menukarkan ringgit dengan ringgit, ianya mesti sama nilai. RM1 jika ditukar mestilah dengan RM1 juga. Jika RM1 ditukar dengan RM2, maka disitu terdapat unsur ribawi. Menukar RM1 dengan RM1 pada majlis akad yang berbeza adalah haram, kerana emas dan perak mestilah ditukar pada majlis akad yang sama. Manakala jika menukar RM1 dengan $2 atau 4 riyal, ianya dibolehkan dengan syarat ianya berlaku dalam satu majlis akad. Ini dibolehkan semasa wang kertas menjadi wakil kepada emas dan perak.

Namun setelah wang kertas menjadi wang fiat, ia tidak lagi terikat dengan emas dan perak. Maka menyatakan ia masih mewakili emas dan perak perlu dikaji semula. Inilah yang dikemukakan oleh Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar. Pada masa ini, wang kertas telah menjadi wang fiat yang bebas ikatan dari emas dan perak. Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum matawang kertas. Terdapat dua bahagian pendapat ulama dalam masalah ini.

Pendapat pertama, duit kertas tidak ada unsur ribawi kerana ia berdiri dengan sendiri dan nilainya tidak ghalibah (tidak kekal). Tidak ghalibah bermaksud ia tidak ada nilai intrinsik dan ia bernilai kerana diberi nilai padanya. Ini berbeza dengan emas dan perak yang setiap masa bernilai dan diakui nilai oleh semua manusia. Pernah disebut oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’, maksudnya “apabila fulus itu laku seperti lakunya nuqud (emas dan perak) tidak haram padanya riba inilah yang sahih dinaskan dan dengannya dipastikan musannif (al-Syirazi) dan Jumhur (al-Syafiiah) dan padanya terhadap satu wajah syaz ianya haram diriwayatkan al-Khurasaniyyun (daripada Ashab al-Syafiiah)” [al-Majmuk, 9/395]
Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
Pendapat 1
Wang kertas tiada unsur ribawi adalah pendapat Syeikh Muhammad Sulaiman al-asyqar dan Syeikh Hasan Ayub. Pendapat ini boleh dirujuk dalam kitab Buhus Fiqhiah fi Qaya Iqtisadiah Muasarah (1/267-300), dan kitab-kitab lain seperti di bawah:

Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
Rujukan 

Pendapat kedua pula, matawang kertas masih termasuk dalam barang ribawi kerana memiliki peranan dan ‘illah seumpama emas dan perak walaupun ia sudah tidak terikat dengan emas dan perak. Ini adalah pendapat Imam Malik, dan disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Pendapat ini diikuti kebanyakan ulama masa kini dan atas pendapat ini, Majma’ Fiqh Islam Rabithah al-Alam al-Islami mengeluarkan fatwa sedemikian.

Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
Pendapat 2

Setelah melihat pendapat ulama ini, barangsiapa memakai pendapat pertama maka jual beli emas secara tertangguh atau hutang dibolehkan dan sah pada syarak, kerana mereka melihat wang fiat sudah hilang hubungan dengan emas dan perak. 

Barangsiapa yang memakai pendapat kedua maka hukum berjual beli emas secara tertangguh atau hutang tidak dibenarkan kerana mereka masih menganggap wang fiat mempunyai ‘illah yang sama dengan emas dan perak, iaitu sebagai alat pertukaran. Inilah yang telah dikemukakan Ibnu Taimiyyah yang menyatakan ‘illah ribawi pada emas dan perak adalah alat pertukaran. Jadi ‘illah ini ada pada wang fiat masa kini.

Hukum Membeli Emas Secara Tertangguh
Kesimpulan

Kesimpulannya, barangsiapa yang menyatakan wang fiat iaitu ringgit, dollar, dan lain-lainnya mempunyai ‘illah yang sama dengan emas dan perak, haram membeli emas dan perak secara tertangguh. Maka pendapat ini betul dan benar. Namun sesiapa yang memakai pendapat kedua ; membenarkan pembelian emas dan perak secara tertangguh, pendapat ini juga adalah benar. Selagi ia termasuk dalam lingkungan khilafiah, memakai mana-mana pendapat pun masih dibenarkan.

 Kalau anda ingin memakai pendapat yang tidak membenarkan jual beli tertangguh, jangan anda menghalang orang lain memakai pandangan yang membenarkan jual beli tersebut. Ini kerana ia masih dalam lingkungan khilaf. Kita bukan membenarkan orang mengambil pendapat khilaf secara membabi buta, tetapi mustahil dalam muamalah hari ini kita membawa duit cash untuk ditukar dengan emas.

Dalam kaedah fiqh pun ada menyatakan “kepayahan menyebabkan kemudahan dibenarkan”. Kita hanya dilarang mengambil pendapat khilaf bilamana ia dalam keadaan yang mengikut nafsu dan menimbulkan fitnah. 

Perbahasan ini belum tamat. Jika benar wang fiat tidak termasuk barang ribawi, mengapa ia dikenakan zakat? InsyaAllah kita akan bahaskan pada entri yang akan datang. Nantikan ! 


Wallahua'lam. 
----------------------------------- 
Kredit : Ustaz Zulkifli Ahmad
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Dinar and Dirham Island Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign